Saturday, November 22, 2008

Tipah

Aku akui, aku memang bias. Bukan biasan cahaya... maksud aku, aku cenderung membela kaumku sendiri, perempuan. Aku cuba untuk mempertahankan siapa jua yang bergelar perempuan. Kadang-kadang, rakan-rakan lelakiku mengeluh, kerana aku petah sahaja memutar fakta yang membuatkan mereka rasa bersalah kerana aku pastinya akan memenangkan perempuan. Ya, aku tidak adil, tapi aku sendiri tahu, perempuan, kadangkala pertimbangannya tersasar kerana terlalu banyak faktor. Aku sendiri, dikala hormon tidak seimbang sering kurang pertimbangan, membuat pilihan yang silap, mencetus tindakan yang lazimnya jika mengikut hukum akal tidak akan kulakukan. Tapi aku tahu semua itu tidak wajar dijadikan alasan. Aku akui perempuan ada kelemahannya (walaupun jika kau kenal aku, akulah perempuan yang kononnya serba boleh melakukan segalanya tanpa perlunya lelaki).

Dalam aku cuba untuk memenangkan kaumku sendiri, kadangkala aku terasa mahu menghantuk kepala bila mendengar keluhan dan rintihan perempuan-perempuan yang punca masalah adalah diri mereka sendiri. Aduhhhhhh. Mengapa terlalu naif? Bila mendengar kisah tipah tertipu, aku cuba untuk simpati pada tipah dan memberikan bahuku pada tipah untuk tumpang menangis , walaupun dalam hati aku terasa ingin menempeleng mana-mana tipah yang bodoh lagi dungu itu.

Terkini aku mendengar keluhan si janda muda. Merintih kerna terlalu banyak tohmahan diterima dek kerana status J itu. Ku sangkakan dia sememangnya mangsa keadaan. Namun bila ku gali cerita sebenar, aku terduduk seolah bingung. Kalau perbuatanmu sendiri mengundang tohmahan itu, apa adil kau katakan mereka itu fitnah? Kalau jalan itu kaupilih sendiri, apa salah benar mulut-mulut tempayan itu mengata? Salah mereka memang salah. Mengutuk mengata itu jelas berdosa. Tapi di mana pula tempatmu yang sememangnya melakukan perkara-perkara yang diperkatakan itu? Aku hilang punca untuk membela bila empunya diri sendiri bertindak bodoh dan tidak mahu belajar dari kesilapan lampau. Tersilap langkah sekali itu tak mengapa kerana itu peluang untuk kau mengambil iktibar dan belajar dari kesilapan. Manusia yang tidak pernah berbuat silap itu mungkin tidak pernah belajar. Tapi jika 3-4 kali kau mengulang salah itu, tiada apa yang boleh kukata kecuali BODOH.

No comments: